Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PERKASA gembira Interpol 'bersihkan' Zakir Naik
Diterbitkan:  Dec 18, 2017 3:43 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) menyambut baik tindakan polis antarabangsa (Interpol) membatalkan notis arahan tangkap terhadap Dr Zakir Naik dan mengarahkan pejabatnya di seluruh dunia memadam data mengenai pendakwah antarabangsa itu daripada fail mereka.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata tindakan Interpol itu boleh membersihkan nama Dr Zakir daripada sebarang tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

“PERKASA bersyukur kepada Allah atas pelepasan yang diberikan kepada pendakwah tersohor antarabangsa itu oleh Interpol atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan seperti yang didakwa kerajaan India.

“PERKASA juga bersyukur kerana Interpol membatalkan Notis Merah terhadap Dr Zakir dan Interpol juga telah mengarahkan semua pihak memadamkan semua data berkaitan dakwaan palsu terhadap beliau," kata Ibrahim melalui kenyataannya hari ini.

Kelmarin portal berita Times Now melaporkan perkembangan itu berikutan pihak berkuasa India gagal mengekstradisi Dr Zakir yang kini berada di Malaysia.

Pada 8 November lalu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan tidak menerima permohonan ekstradisi daripada New Delhi untuk membawa pulang Dr Zakir bagi didakwa atas tuduhan mempromosi aktiviti keganasan di negara itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sekiranya kerajaan India ada membuat permohonan itu berdasarkan Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA), Putrajaya akan memenuhi permintaan itu.

Bagaimanapun, katanya, Dr Zakir bukan rakyat Malaysia dan tidak menetap di negara sebaliknya hanya memiliki status penduduk tetap.

Ibrahim turut menegaskan Malaysia mengiktiraf sumbangan Dr Zakir kepada perkembangan Islam di negara ini dengan memberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada 2013.

Lihat Komen
ADS