Polis Johor telah mengenalpasti empat suspek yang disyaki dengan kejadian seorang lelaki maut ditikam dan dilanggar di sebuah kereta di stesen minyak di Taman Pelangi di Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya kini masih giat mengesan dan menangkap kesemua suspek.

"Polis telah berjaya mengenal pasti empat suspek yang terlibat dalam kes ini, dan usaha bagi mengesan dan menangkap suspek, sedang giat digerakkan," katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Mohd Khalil berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis mendapati kenderaan BMW 520i bernombor pendaftaran WB79L terlibat dalam kes berkenaan menggunakan nombor pendaftaran bukan miliknya.

Bagaimanapun menurutnya, pemilik asal telah berjaya dikesan dan selepas ditemu bual, pihak polis mendapati dia tiada kaitan dengan kes itu.

Beliau turut memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman dan telah disahkan oleh pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA), melalui bedah siasat sebagai 'stab wound to the heart'.

"Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat terhadap kejadian ini, diminta menyalurkan maklumat kepada Balai Polis terdekat atau menghubungi polis Johor di talian 07-2212999 dengan kadar segera," katanya.