Seorang koroner Australia menasihatkan pihak berkuasa di Victoria agar memberi amaran kepada penduduk berkenaan risiko medical tourism, selepas seorang lelaki dari Melbourne yang menjalani pembedahan kosmetik di Malaysia mati.

“Pengguna perkhidmatan perubatan luar negara (perlu) berhati-hati dengan kualiti rawatan perubatan yang disediakan di negara lain mungkin tidak mempunyai piawai yang sama di Australia,” kata koroner Caitlin English.

Koroner itu membuat kenyataan berkenaan dalam laporan koroner yang diterbitkan dua minggu lalu berhubung kematian Leigh Aiple, 31, pada 2014.

Aiple (gambar) sebelum ini terbang ke Malaysia pada April 2014 bagi menjalani pembedahan kosmetik di Beverly Wilshire Medical Centre (BWMC) yang merupakan pusat rawatan perubatan swasta di Kuala Lumpur.

Dua minggu kemudian, sehari selepas pulang ke Australia, dia telah mati.

Berdasarkan laporan koroner itu, Aiple dibuli ketika menjadi askar Australia kerana kuat berdengkur dan kulit yang kendur selepas kehilangan berat badan. Dia cuba merawat masalah itu dengan pembedahan tersebut.

Dia menjalani dua pembedahan yang hanya selang lima hari ketika berada di pusat perubatan itu, termasuk menyedut lemak, membuang daging di abdomen dan membesarkan bibir atas.

Dia mendaftar keluar dari hospital sehari selepas pembedahan kedua untuk meneruskan pemulihannya di bilik hotel.

Pada ketika itulah terjadi kesan sampingan dalam pemulihannya, termasuk luka pecah, berdarah dan pengsan.

Seorang jururawat yang merawat Aipel pada satu ketika membuat kenyataan bilik hotelnya “dipenuhi dengan bekas darah pada jubah mandi, tuala dan cadar.”

Apabila dia pulang ke Australia pada 11 Mei, ibunya Grace Muscat (kiri) melaporkan lukanya “mengerikan” dan dijangkiti kuman. Ibunya juga berkata terdapat lubang dengan cecair mengalir pada tubuh anaknya.

Aiple mati akibat arteri jantung tersumbat darah beku keesokan harinya.

Laporan koroner itu menjelaskan terdapat beberapa perbezaan pandangan yang mengejutkan oleh pakar bedah Aipel dengan Mark Ashton, bekas ketua pembedahan plastik di Hospital Royal Melbourne.

Salah satunya, pakar bedah Aipel, Dr M Nasir Zahari menganggap dia tidak berdepan risiko tinggi darah beku dan memberikannya ubat dos rendah bagi mengelakkan pendarahan.

Bagaimanapun, Ashton dan rujukan perubatan yang dipetik Nasir bagi mempertahankan dos ubatannya, masing-masing mengatakan Aipel berdepan risiko tinggi kerana mempunyai berat badan 124kg.

Rujukan yang dipetik Nasir turut mencadangkan dos yang digunakan hanya separuh daripada jumlah yang seharusnya diberikan.

Rujukan itu juga menjelaskan pesakit perlu berada di bawah pemerhatian rapi dalam tempoh empat minggu selepas pembedahan dan dinasihatkan tidak menempuh perjalanan jauh menaiki kenderaan atau kapal terbang.

Ashton turut menjelaskan Aiple seharusnya dibawa semula untuk pembedahan apabila lukanya mula pecah dan mendaftarnya keluar dari pusat rawatan adalah “perkara paling buruk yang boleh dilakukan”

Nasir bagaimanapun percaya luka itu boleh tertutup sendiri kerana pecahan luka “agak kecil” pada 0.5cm.

Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Kesihatan untuk mengulas berkenaan perkara itu.

[Baca berita penuh]