Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bunuh, bakar sekeluarga disebut semula 25 Jan

Mahkamah Majistret Telok Datok di Kuala Langat hari ini menetapkan 25 Jan depan untuk sebutan semula kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, pada minggu lepas.

Majistret Mohd Isa Md Nor menetapkan tarikh itu bagi membolehkan jurubahasa isyarat disediakan memandangkan tertuduh, Kang Chang Heng, 38, tidak memberi sebarang respons ketika pertuduhan pertama dibacakan terhadapnya.

Ini kerana tertuduh yang berasal daripada Kluang, Johor, merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) pekak dan bisu.

Kang yang hadir di mahkamah memakai kemeja-T kelabu dan berseluar kuning sepatutnya menghadapi empat pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mendatangkan cedera mengikut Seksyen 324 Kanun sama.

Bagaimanapun, sejurus jurubahasa mahkamah selesai membacakan pertuduhan pertama dan bertanyakan sama ada Kang memahami pertuduhan itu, tertuduh yang berbalut tangan kanannya tidak memberi sebarang respons dan hanya menundukkan kepala.

Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali yang mengendalikan pendakwaan kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa Kang merupakan OKU pekak dan bisu dan sehubungan itu memohon tarikh sebutan baharu bagi membolehkan jurubahasa isyarat dilantik dan menterjemahkan kesemua pertuduhan terhadap tertuduh.

Mohd Isa membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan seorang jurubahasa isyarat yang sesuai disediakan pada 25 Jan depan.

Mengikut pertuduhan yang sempat dibacakan terhadapnya, Kang yang merupakan pekerja sebuah kilang perabot di Kepong, Kuala Lumpur didakwa membunuh Chia Tee Nang, 73, di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, antara pukul 4 hingga 5 pagi, 13 Dis lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan, Tee Nang dan tiga anggota keluarganya dibunuh sebelum dibakar di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat. Turut terkorban ialah isteri Tee Nang, Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9 dan Chia Yuan Bin, 3. -Bernama

Lihat Komen
ADS