Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap isterinya dengan cara menampar dan menumbuknya, Sabtu lepas.

Mohd Azrul Mohd Azmi, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Nurul Atthia Abdullah, 28, seorang suri rumah dengan cara menampar dan menumbuk di bahagian pipi kiri, telinga kanan serta di bahagian belakang badan menggunakan tangan sehingga mangsa mengalami kesakitan di bahagian belakang badan dan tangan kirinya.

Bapa lima anak itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik tidur mangsa di Flat Sri Pulau Pinang, Cheras pada 4.30 pagi, 16 Dis lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dengan alasan dia penanggung utama keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jan 2018 untuk sebutan semula kes. -Bernama