Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak 169,250 keping lampin pakai buang jenama tiruan yang dianggarkan bernilai lebih RM73,000 berjaya dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan dalam tiga serbuan di Rantau Panjang dan Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Harun berkata, serbuan yang bermula pada jam 10 malam sehingga 4 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada pemilik jenama lampin tersebut.

Serbuan tersebut menurutnya, dilakukan di dua buah premis di Rantau Panjang dan sebuah stor penyimpanan di Wakaf Bharu.

"Selepas melakukan serbuan dan merampas sebanyak 13,250 keping lampin pakai buang di dua buah premis di Rantau Panjang, kita telah mendapat maklumat baharu mengenai lampin tersebut yang turut disimpan di dalam stor di Wakaf Bharu.

"Selepas mengeledah stor tersebut, kita menemukan sebanyak 156,000 keping lampin pakai buang berjenama tiruan itu,' katanya ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah PPDNKK negeri di Kota Bharu, hari ini.

Bagaimanapun Ab Ghani berkata, serbuan tersebut tidak melibatkan sebarang tangkapan berikutan pemiliknya tidak berada di premis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan, membekal, menawarkan, mendedahkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan dengan cap dagangan berdaftar iaitu POPODRY.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang menggunakan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu tambah beliau, pihaknya berharap masyarakat setempat prihatin dan memberi kerjasama dalam usaha menangani penularan penjualan lampin tiruan di seluruh negeri.

Lihat Komen
ADS