Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) akan melawat ibu pejabat polis daerah Klang Selatan esok susulan kes kematian tahanan G Ganeshwaran.

Dalam kenyataan hari ini, SUHAKAM berkata suruhanjaya itu 'sangat mengambil berat' terhadap satu lagi kes kematian dalam tahanan pihak berkuasa ini.

Menurut laporan Malay Mail Online, Ganeshwaran, 29, ditangkap polis pagi semalam dan tiba-tiba jatuh sakit. Dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah kira-kira tengahari semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata si mati mengadu masalah kesihatan ketika disoal siasat kira-kira jam 10.15 pagi.

"Ketika sampai di bilik soal siasat di ibu pejabat daerah Klang Selatan, tahanan mengadu lelah dan rasa mual sebelum muntah kira-kira jam 11.15 pagi," katanya.

Sebuah ambulan tiba kira-kira sejam kemudian tetapi Ganeshwaran disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.40 tengahari.

Shamsul berkata tiada unsur kecurangan berlaku kerana tiada tanda kecederaan luaran. Laporan itu juga berkata bedah siasat akan dijalankan oleh enam doktor patologi petang semalam.

Tendangan di tekak

Sementara itu, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago mendakwa perbualannya dengan ibu si mati memberitahu hal yang sebaliknya.

"Beliau hadir (di rumah mayat) secara kebetulan apabila anaknya dihantar ke hospital.

"Dalam perbualan ringkas itu, ibu si mati berkata Ganeshwaran memberitahunya yang dia ditendang di tekak...dan tidak dibenarkan makan selama dua hari kerana dia tidak dapat menelan makanan," kata Santiago.

Santiago berkata ibu Ganeshwaran mendakwa si mati tidak ada rekod sejarah menghidap penyakit lelah.

Berdasarkan penjelasan yang berlawanan ini, Santiago berkata pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan rapi dan bebas terhadap punca kematian Ganeshwaran.