Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak 417,684 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Sistem Ke­selamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dilaksanakan di 21 lokasi di seluruh negara sejak Mei lepas sehingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata saman itu melibatkan dua kesalahan iaitu melebihi had laju yang mencatatkan 385,474 saman dan melanggar arahan lampu isyarat sebanyak 32,210 saman.

"Sebanyak 11 lagi sistem Awas yang dipasang di seluruh negara dijangka beroperasi sepanjang 24 jam pada Januari depan bagi memupuk kesedaran pemandu supaya mematuhi semua peraturan yang di­tetapkan," katanya pada sidang media mengenai Ops Patuh di sini, hari ini.

Beliau berkata sistem Awas yang dalam persediaan itu melibatkan dua kamera Awas yang memantau had laju di Selangor, lima kamera Awas di lampu isyarat di Perak manakala empat lagi di Kedah.

Mengenai Ops Patuh 2 yang dijalankan bermula 25 November lepas, beliau berkata JPJ telah mengeluarkan sebanyak 15,306 notis kesalahan daripada 30,236 kenderaan yang diperiksa.

Wan Ahmad Uzir berkata penunggang motosikal merupakan penyumbang saman yang paling tinggi iaitu 43 peratus dengan 8,944 saman berbanding 5,078 saman terhadap pemandu kereta, 6,310 saman terhadap pemandu lori dan 271 saman terhadap pemandu bas.

“Ops Patuh 2 ini akan diteruskan sehingga 31 Dis sebelum kami melancarkan Ops Sisih bagi memastikan semua pemandu bas ekspres bebas daripada kesalahan lalu lintas menjelang Tahun Baharu Cina pada awal tahun depan,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS