Nurul Izzah engan ulas cadangan Mahathir jadi PM
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar enggan mengulas cadangan bagi melantik pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara sekiranya gabungan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya akan ulas kemudian kerana saya bersemangat melihat perbincangan berterusan itu," katanya kepada pemberita di pusat khidmatnya di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan sijil penghargaan dan sagu hati tunai kepada 65 pelajar di Lembah Pantai yang cemerlang dalam peperiksaan PT3 dan UPSR.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga adalah ketua umum HARAPAN mengenai perkara berkenaan, Nurul Izzah berkata, sebagai pengamal demokrasi, beliau sangat bangga dengan hakikat ketua umum HARAPAN menyedari hakikat tersebut.
"Seperti saya katakan sebelum ini, saya akan ulas kemudian kerana perbincangan kami sedang rancak dan positif," katanya.
Had untuk lawatan
Mengenai sama ada Anwar menyedari cadangan itu, Nurul Izzah berkata, pemimpin PKR itu kini berada di hospital.
"Terdapat had untuk lawatan. Semua perbualan kami dipantau.
"Beliau bukan orang bebas yang mampu berinteraksi dengan kami, beliau ada menyediakan prinsip dan barometer utama untuk agenda pembaharuan, memastikan bahawa itu adalah paling utama tetapi selain itu beliau sebenarnya adalah seorang tahanan politik," katanya.
Nurul Izzah seterusnya berkata cadangan itu walau bagaimanapun belum disahkan.
"Sebab itu saya enggan ulas sekarang kerana saya suka mengadakan perbincangan dan rundingan di belakang tabir. Saya fikir kita telah cukup mendapat publisiti buruk, terima kasih kepada media BN.
"Saya fikir keseluruhan perhimpunan agung Umno adalah analisis terperinci mengenai kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri sebelum ini.
"Saya fikir kita hanya akan tumpu agenda reformasi dan ikrar kita berdasarkan apa yang telah diluluskan dan akan dikeluarkan oleh sekretariat HARAPAN, jadi tunggu 7 Januari di mana kita akan mengadakan konvensyen," katanya.
Susulan pemukiman sebelum pilihan raya HARAPAN pada awal bulan ini, timbul laporan kononnya keputusan dibuat untuk melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya jika mereka memenangi pilihan raya.
Bagaimanapun, DAP menegaskan bahawa Anwar adalah pilihan perdana menteri.

