Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Taktik seorang lelaki yang disyaki cuba menyembunyikan dadah di atas bumbung rumah jirannya berakhir dengan kegagalan apabila diberkas pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Rantau Panjang, semalam.

Dalam serbuan tersebut Polis Kelantan menahan empat sekeluarga dan merampas 109 botol dadah jenis heroin seberat 436 gram yang dianggarkan bernilai RM218,000.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan pada jam 4 petang itu dibuat sepasukan anggota dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan berjaya menahan suspek utama seorang lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, turut ditahan seorang wanita berusia 40 tahun yang juga kakak suspek utama serta dua anak saudara mereka, masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 18 dan 16 tahun.

“Ketika serbuan, suspek lari dan bersembunyi dalam bilik air di rumahnya sebelum mencampakkan satu bungkusan surat khabar yang mengandungi dadah di atas bumbung rumah jiran.

“Pasukan kita bertindak memecahkan pintu bilik air dan menahan suspek bersama satu beg hitam mengandungi dadah jenis heroin dan satu bungkusan berisi dadah jenis sama di atas bumbung rumah jirannya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bekalan dadah diambil dari seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Pak Ya' menerusi pangkalan haram di Rantau Panjang untuk pasaran di Kelantan.

Katanya, empat sekeluarga itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan Hasanuddin berkata pihaknya merekodkan sebanyak 13,838 kes melibatkan dadah di seluruh Kelantan.

"Ia membabitkan (operasi) bermula 1 Januari hingga hari ini, melibatkan tangkapan seramai 16,334 orang dan nilai rampasan lebih RM11.6 juta," katanya.

Lihat Komen
ADS