Sister In Islam (SIS) menggesa siasatan ke atas profesor undang-undang Shad Saleem Faruqi berhubung tulisan yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan bulan lalu dihentikan segera.

Dalam satu kenyataan, kumpulan berkenaan berkata bahawa Shad sebagai ahli akademik yang berperanan dalam hal perlembagaan dan dasar Islam, telah bertindak mengikut batas tugasnya apabila mengulas berkenaan radikalisme agama dalam artikelnya yang diterbitkan The Star baru-baru ini.

“Bagaimana kita tentukan sama ada individu itu mengganggu ketenteraman awam atau menyebarkan keharmonian dan toleransi melalui wacana akademik?

“Atau peruntukan itu hanya dikenakan ke atas institusi dan individu tertentu sahaja?

“Kita perlu mengambil iktibar dari kenyataan Imam Malik bahawa kepelbagaian pendapat adalah anugerah Allah kepada umat Islam dan sebarang paksaan berpendapat bererti tidak menghargai anugerah ini,” kata SIS yang menyifatkan siasatan ke atas Shad sebagai penyalahgunaan kuasa yang bertujuan menghalang kebebasan berekspresi.

Profesor Universiti Malaya itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan tindakan sengaja menghina dengan niat provokasi bagi mengganggu keamanan, yang boleh dijatuhkan hukuman dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) telah membuat laporan polis ke atas artikel Shad bertajuk “Radikalisme Agama Semakin Merebak” (Religious Radicalisme On The Rise) yang diterbitkan The Star yang mana Shad mempersoalkan pendirian institusi berkenaan terhadap sekalarisme, selain menyentuh berkenaan Perlembagaan Persekutuan yang tertakluk kepada agama Islam, dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan agama.

Sis turut menggesa agar “penyekatan dan momokan sistematik terhadap suara-suara pelbagai” berkenaan hal yang berkaitan Islam dihentikan.

Sebagai rakyat Malaysia yang menghargai demokrasi, undang-undang dan nilai yang mempromosikan keharmonian, toleransi dan perdamaian dalam masyarakat, kami menggesa ahli akademik, aktivis dan masyarakat awam untuk bersuara dan melawan intimidasi yang dikenakan terhadap ahli akademik dan sekatan terhadap kebebasan akademik,” katanya.

Semalam, kumpulan peguam hak asasi Lawyers For Liberty menyuarakan kebimbangan sama berkata siasatan ke atas Shad bererti serangan terhadap ahli akademik dan kebebasan bersuara.