S'gor, P Pinang boleh guna dana awam biaya parti, kata penganalisis
Pembangkang tidak perlu tunggu sehingga berjaya tawan Putrajaya untuk melakukan perubahan tapi sebaliknya boleh terus melaksanakannya di negeri yang mereka tadbir bagi mengurangkan kadar rasuah, kata penganalisis politik hari ini.
Menurut felo Penang Institue Wong Chin Huat, perubahan boleh dimulakan di negeri pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang dengan memperkenalkan sistem yang membolehkan parti politik didanai pembayar cukai.
“Kerajaan negeri mempunyai kuasa melakukan perubahan.
“Dengan sumber yang ada, kerajaan negeri boleh lakukan pelbagai perkara, termasuk (menggunakan) dana awam untuk parti politik, kerana tiada peruntukan daripada kerajaan persekutuan yang menghalang kerajaan negeri membelanjakan wang itu.
“Jika setiap hari kita ulang yang kita perlu tunggu sehingga sampai Putrajaya sebelum melakukan perubahan, saya tidak pasti sama ada rakyat mungkin akan bosan atau muak dengan kenyataan begitu,” katanya.
Wong merupakan salah seorang panelis di forum membincangkan berkenaan dana awam digunakan untuk parti politik yang diadakan di Institut Darul Ehsan di Shah Alam hari ini, dan menjelaskan sistem politik Jerman yang turut menggunakan sistem itu.
Wong memetik analogi tentang kucing yang cukup makan tidak perlu curi makan ikan dan berkata parti politik tidak perlu mencari dana dari sumber lain sekiranya mereka menerima dana awam.
Wong turut menjelaskan bahawa dalam sistem yang ada ketika ini, pengaruh ditentukan oleh jumlah sumbangan.
“Justeru, orang kaya akan mempunyai pengaruh terhadap politik negara dan dasar kerajaan yang hanya menjaga kepentingan mereka.
“Ini akan menyukarkan parti baru dan yang lebih kecil untuk bertanding,” katanya.
Wong menambah, sekiranya individu tertentu diminta mendanai parti politik, sudah tentu individu itu akan mengharapkan balasan.
“Rasuah akan terjadi. Ini tidak semestinya bererti melalui penyelewengan dana, namun konflik kepentingan akan terjadi,” katanya.

