Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mayat mangsa tikam dan gilis dibawa ke Melaka

Selepas tiga hari ditempatkan di Pusat Peringatan Nirvana di Jalan Skudai, di Johor Bahru, mayat mangsa bunuh di stesen minyak Taman Pelangi, Ahad lepas, dibawa ke Melaka untuk dikebumikan hari ini.

Tinjauan pemberita mendapati anggota keluarga mendiang tiba seawal 8 pagi untuk memberi penghormatan terakhir, sebelum mayat diusung ke dalam kenderaan jenis Mercedez E250 CGI kira-kira pukul 9.50 pagi.

Turut kelihatan, isteri mangsa yang dipercayai warga Vietnam serta anak lelaki mangsa yang kemudian dilihat menaiki sebuah bas untuk mengiringi jasad mangsa ke Melaka.

Jasad mangsa dilaporkan akan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Cina di sana memandangkan mangsa berasal dari Melaka.

Dalam kejadian Ahad lepas, mangsa berusia 30-an maut selepas ditikam, dilanggar dan digilis sekumpulan empat lelaki di stesen minyak berkenaan.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan isterinya berhenti di stesen itu untuk mengisi angin tayar kenderaannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendedahkan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan dua kumpulan kongsi gelap.

Semalam, polis mengesahkan menahan seorang lelaki berumur 22 tahun dan seorang wanita berumur 19 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan. -Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS