Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengajak umat Islam di negeri itu yang cukup haul selama setahun pada penghujung bulan ini menunaikan ibadah zakat sebelum tahun ini berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nazim Mohd Noor berkata menunaikan zakat itu adalah satu kewajipan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Justeru, rebutlah peluang untuk melaksanakan segera ibadah ini sebelum 2017 berakhir, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain kempen galakan kepada pembayar zakat, MAIPs juga menyeru agar masyarakat menyalurkan maklumat asnaf kepada mereka supaya golongan yang memerlukan bantuan dan perhatian ini mendapat pembelaan.

"Sebagai usaha mendekati dan membantu warga asnaf, MAIPs melaksanakan program ‘MAIPs Peduli’ yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail," katanya.

Mohd Nazim berkata menerusi program itu, pihaknya menjejaki dan menyantuni asnaf selain sentiasa responsif kepada isu asnaf melalui lawatan dan tinjauan serta melaksanakan bancian asnaf di seluruh negeri.

Tuanku Syed Faizuddin juga melancarkan kempen 'Nihayatul-am' baru-baru ini bagi menggalakkan umat Islam melaksanakan ibadah zakat dan wakaf serta menyucikan harta tidak patuh syarak melalui sumbangan kepada Tabung Baraatuz Zimmah.

- Bernama