Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai penguat kuasa imigresen didakwa ubahsuai sistem myIMMS
Diterbitkan:  Dec 21, 2017 3:25 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Siber di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengakibatkan pengubahsuaian tidak sah dan tanpa kuasa terhadap sistem myIMMS pada Jun tahun lepas.

Yusri Yahya, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Penjawat awam itu dituduh mengubah suai sistem komputer myIMMS yang membabitkan transaksi visa pas dan pekerja asing yang diketahui pengubahsuaian itu tidak sah atau tanpa kuasa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Teknologi Maklumat dan Rekod, Jabatan Imigresen Malaysia, Aras 6, Persiaran Perdana, Precint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 4.07 pagi 1 Jun 2016 hingga 11.20 malam, 8 Jun 2016.

Yusri, yang kini bertugas di Jabatan Imigresen Daerah Senawang, Negeri Sembilan, didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Luqman Hakim Azhar memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mampu membayar jaminan tinggi kerana menanggung isteri, dua nak yang berumur tiga dan empat tahun serta ibu bapanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan atau jaminan terhadapnya akan terbatal serta merta.

Hakim Zaman menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS