Anggota Parlimen Segambut DAP Lim Lip Eng membuat permohonan untuk membatalkan saman fitnah oleh MCA, berikutan dakwaannya bahawa parti itu "menyapu" dana kerajaan yang disalur untuk sekolah vernakular Cina.

Peguamnya Guok Ngek Seong memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa parti politik tidak boleh memfailkan saman terhadap Lim.

Memetik kes dari United Kingdom, peguam itu berpendapat bahawa parti politik tidak boleh mendakwa individu.

"Tidak ada kes (seumpama itu) di Malaysia. Disebabkan kami berpendapat bahawa kes yang sama di United Kingdom, ia terpakai juga di sini," tambah Geok.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim kemudian menetapkan 27 Februari untuk membuat keputusan mengenai permohonan membatalkan saman itu.

MCA diwakili oleh peguam Ng Choo Ho dan memfailkan saman fitnah terhadap Lim melalui setiausaha agungnya, Ong Ka Chuan.

Tindakan itu diambil selepas parti itu menghantar surat tuntutan kepada Lim untuk membayar ganti rugi dan menarik balik kenyataannya dalam masa tujuh hari.