MUIP sumbang RM1.06 juta kepada IJN, mangsa banjir di Kedah, P Pinang
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.06 juta kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan mangsa banjir di Kedah serta Pulau Pinang.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang Dipertua MUIP berkenan menyampaikan sumbangan itu di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan.
Sumbangan berjumlah RM1 juta kepada IJN yang diwakili Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Asyraf bertujuan menampung kos rawatan pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan dari Pahang yang menerima rawatan di situ.
Tengku Abdullah juga menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 masing-masing kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Kedah Zakaria Othman serta wakil Zakat Pulau Pinang Hambali Mohd Fuad, untuk diserahkan kepada mangsa banjir di kedua-dua negeri itu.
Pada majlis sama, Tengku Abdullah turut berkenan menerima zakat perniagaan daripada empat syarikat iaitu Far East Holdings Berhad (RM1.1 juta), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM400,000), CIMB Islamic Bank Berhad (RM100,000) dan GITN Sdn Bhd (RM93,333).
Sementara itu, Pusat Kutipan Zakat Pahang memaklumkan telah menerima RM111 juta daripada 79,721 pembayar zakat setakat 18 Disember lalu berbanding sasaran RM120 juta membabitkan 83,000 individu yang ditetapkan bagi tahun ini.
Terdahulu, Tengku Abdullah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan MUIP serta lima agensi di Pahang bagi memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini.
Agensi terlibat ialah Pusat Kutipan Zakat Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, Pertubuhan Peguam Syarie Pahang dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Pahang serta Etiqa Takaful Berhad.
- Bernama

