Polis Perak menjalankan inkuiri dalaman berhubung kes anggota pasukan keselamatan itu menembak mati M Marimuthu yang didakwa bukan suspek penjenayah pada Mei lalu.

The Star melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ACP Gan Tian Kee berkata inkuiri itu akan dikendalikan oleh jabatan siasatan jenayah dari Ibu Pejabat Polis Tapah.

Semalam isteri Marimuthu R Vaijentimala menggesa siasatan dijalankan terhadap anggota polis yang bertanggungjawab menyebabkan kematian suaminya

"Kami mengambil serius dakwaan ini dan akan mendapatkan kenyataan serta sebarang bukti daripada pengadu bagi membantu siasatan,: kata Gan seperti dilapor.

Beliau berkata apabila siasatan selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Marimuthu,41 ditembak mati pada 24 Mei lalu di Air Kuning Tapah dalam satu kejadian berbalas tembakan seperti yang didakwa pihak polis.

Menurut polis, Marimuthu merupakan ketua "Gang Pam" yang mengkhusus kepada jenayah mencuri pam daripada jentera berat.

Dia dilaporkan cuba melarikan diri dan menyerang polis hingga memaksa anggota keselamatan itu membalas tembakan.

Bagaimanapun, peguam Vaijenthimala, N Surendran, mempertikaikan laporan itu.

Beliau memetik laporan bedah siasat menunjukkan peluru menembusi dada si mati di bawah sudut 40 darjah.

Kedudukan itu  konsisten dengan seseorang yang menembak Marimuthu ketika berdiri di atasnya dan bukan ketika berbalas tembakan.

Balu berusia 41 tahun itu menuntut keadilan untuk suaminya, dirinya dan anak perempuannya yang berumur sembilan bulan dan menyeru anggota polis yang terlibat dalam kematian suaminya digantung tugas.