Murid naik pentas berkain pelikat lepas bersunat curi tumpuan
Gelagat seorang kanak-kanak lelaki yang sedang ‘berpantang’ selepas bersunat mencuri tumpuan orang ramai yang hadir untuk menerima bantuan awal persekolahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, hari ini.
Mohd Adif Saufan Norizman, 10, dari Kampung Kuala Dura naik ke pentas diiringi ibunya, Siti Aminah Abdullah, 26, sambil memakai kain pelikat.
“Mula-mula datang saya memang malu sebab semua orang melihat saya menaiki pentas memakai kain pelikat… ini kerana luka berkhatan saya masih belum pulih sepenuhnya tapi saya tetap datang kerana teruja untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan baharu.
“Lagipun saya datang ini kerana hendak mengukur baju sekolah di sini, takut tidak muat. Saya seronok dapat bantuan ini kerana boleh ringankan beban ibu saya yang hanya meniaga makanan untuk menyara saya dan adik,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Kembali Ke Sekolah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Indera, di Kuala Berang hari ini.
Seramai 200 penerima menerima bantuan awal persekolahan yang bernilai RM200 menerusi program kali kedua diadakan di Terengganu, pada tahun ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Pemangku Pengurus Besar Stesen Janaletrik Sultan Mahmud, Kenyir Azani Mohd Yusoff dan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu Jalaluddin Ismail.
Program yang dilaksanakan sejak 2013 itu telah memberi manfaat kepada 12,000 murid-murid dari 800 sekolah di seluruh negara dan pada tahun ini, ia melibatkan 50 daerah di seluruh negara membabitkan seramai 10,000 murid berumur lapan hingga 12 tahun, menerima sumbangan bernilai RM2 juta.
Sementara itu, Azani berkata ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat TNB sebagai usaha membantu mereka yang kurang berkemampuan, selaras dengan fokus pihaknya dalam bidang pendidikan iaitu supaya kanak-kanak boleh belajar di sekolah dalam keadaan sempurna dan selesa.
“Kami amat memahami kekangan kewangan terutama apabila melihat kepada suasana penerima hari ini dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan, lebih-lebih lagi buat keluarga yang mempunyai ramai anak,” katanya.
-- BERNAMA

