Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMANAH, PKR hadiri himpunan al-Quds esok, kata TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengegaskan wakil pembangkang dari Pakatan Harapan (HARAPAN) tetap menghantar wakil dalam himpunan Selamatkan Baitulmuqaddis di Putrajaya esok.

Kata timbalan perdana menteri Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR akan menghantar wakil masing-masing dalam himpunan yang diadakan di Masjid Putra itu.

Ditanya mengenai wakil parti komponen HARAPAN, Ahmad Zahid menyoal wartawan semula mengenai "siapa Pakatan Harapan".

"Siapa ahli-ahlinya? AMANAH? Ada (wakil). Lagi siapa, PKR? Ada wakil PKR," katanya kepada media di Petaling Jaya hari ini.

Ahmad Zahid diminta memberi komen mengenai kenyataan Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menegaskan parti berkenaan tidak akan terlibat dalam himpunan esok.

Semalam portal FMT melaporkan Mujahid sebagai berkata, beliau memikirkan kemungkinan untuk menolak jemputan Ahmad Zahid untuk menjadi panel forum mengenai Baitulmuqaddis.

"Kalau parti tidak terlibat dalam himpunan itu, saya mungkin tidak akan menghadirinya. Saya perlu mengikut pendirian parti," katanya.

Mengenai Muhajid yang sepatutnya menjadi salah seorang panel dalam forum khas mengenai Baltulmuqaddis itu, Ahmad Zahid berkata penganjur mempunyai calon lain untuk menggantikan anggota parlimen Parit Buntar tersebut.

"Kita dah ada pengganti dia dari parti yang sama. Biarlah dia bergaduh sesama sendiri (kerana tidak ada kesepakatan)," katanya.

Sementara itu PKR dalam kenyataannya hari ini mengesahkan parti terbabit akan menghantar wakil ke himpunan tersebut.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata krisis Baitulmuqaddis membabitkan isu keadilan sejagat, hak asasi manusia serta kestabilan politik Timur Tengah.

"Maka Biro Politik PKR bersetuju menghantar seorang wakil, iaitu Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyertai forum khas tentang isu ini di Masjid Putra, esok," katanya.

Ditanya mengenai pembabitan HARAPAN dalam himpunan itu, Ahmad Zahid bertanya semula: "Pakatan Harapan tu dah daftar ke, belum?"

Ramai sahkan kehadiran

Malaysia dijangka mengumumkan satu resolusi mengenai Baitulmuqaddis semasa himpunan berkenaan berlangsung esok.

Himpunan itu sekali lagi akan menyaksikan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang digandingkan di atas pentas sama untuk memperkatakan isu umat Islam.

Sebelum ini kedua-dua mereka digandingkan dalam himpunan mengenai nasib etnik Rohingya di Myanmar.

Krisis Baitulmuqaddis menjadi kebimbangan umat Islam sedunia ekoran keputusan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf bandar berkenaan sebagai ibu negara Israel.

Rumah Putih juga memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Semalam Ahmad Zahid mengesahkan sebanyak 250 pertubuhan bukan kerajaan - termasuk di kalangan bukan Islam - mengesahkan akan menyertai himpunan tersebut.

Sementara itu timbalan perdana menteri itu berkata Putrajaya tidak pernah bimbang dengan ancaman mana-mana negara untuk mengambil tindakan diplomatik ke atas Malaysia kerana menyatakan pendirian tidak sealiran dengan Washington.

"Pendirian kita cukup jelas, kesucian Baitulmuqaddis harus dipertahankan," katanya.

Ahmad Zahid juga yakin pembabitan Najib - mengambil kira hubungan baik perdana menteri itu dengan Trump yang dianggap sebagai kawan Trump - akan mengganggu hubungan antara Malaysia dan AS atau bantuan yang disalurkan Washington.

"Kita tak banyak terima bantuan sebab kita bukan saja menjadi negara penerima (sebaliknya) kita juga adalah negara pemberi.

"Hubungan pertahanan, keselamatan dan perdagangan harus diasingkan sepenuhnya daripada isu Baitulmuqaddis," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS