Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sedia bantu mak nyah kembali ke fitrah asal - Exco T'ganu
Diterbitkan:  Dec 21, 2017 6:56 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Kerajaan Terengganu bersedia mengadakan pelbagai program termasuk bantuan memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi membantu golongan mak nyah membina kembali hidup mereka dan menjauhi kegiatan pelacuran.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata kerajaan negeri sudah membuat perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi mengenal pasti identiti pondan terbabit di sini, bagi membolehkan golongan itu kembali kepada fitrah asal.

“Kita akan kenal pasti kategori mereka ini jenis macam mana… sama ada mereka ini menjalankan aktiviti tidak bermoral disebabkan kesempitan hidup ataupun kerana tabiat.

“Berdasarkan kategori tersebut, kita akan bantu dan mereka ini akan diberi bantuan untuk ikuti sesi pemulihan dan kaunseling agar kecelaruan identiti mereka dapat diatasi,” katanya pada sidang media di Majlis Haflu Al-Takrim Al-Sanawi Kolej Al-Quran, di Kuala Terengganu hari ini.

Ghazali berkara pihak berkaitan akan mengkaji punca menyebabkan mak nyah tersebut menjalankan aktiviti tidak bermoral itu dan jika didapati mereka masih berterusan melakukan kegiatan tersebut, tindakan tegas akan diambil.

Mengenai maklumat terdapat aktiviti pelacuran di kawasan flat berdekatan kawasan bandar di Kuala Terengganu, beliau berkata perkara tersebut dirujuk kepada polis Terengganu dan mendapati bahawa hanya sebilangan kecil mak nyah berasal dari Terengganu, manakala selebihnya dari negeri lain.

“Kita akan lihat jika mereka melakukan perkara itu kerana kesempitan hidup dan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan, pihak kerajaan akan mempertimbangkan bantuan menjalankan perniagaan kerana golongan ini tidaklah terlalu ramai,” katanya.

Beliau berkata punca gejala mak nyah semakin berleluasa di Kuala Terengganu  ekoran terdapat permintaan dari individu tertentu, namun kerajaan akan berusaha keras untuk memastikan aktiviti tidak bermoral itu dapat dibendung.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS