Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco yakin 40 peratus pengundi atas pagar pangkah PAS
Diterbitkan:  Dec 21, 2017 8:42 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

PAS Kelantan meletakkan keyakinan pengundi atas pagar akan memberikan sokongan kepada parti itu sekali gus membolehkan mereka kekal memerintah negeri.

Keyakinan berkenaan dinyatakan salah seorang pemimpin PAS Kelantan ketika kebanyakan orang yakin wujud pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata pihaknya menjangkakan 40 peratus pengundi atas pagar akan menyokong kerajaan sekarang.

Pada masa sama beliau juga menyifatkan kewujudan Parti Amanah Negara (AMANAH) juga bukan ancaman besar kepada kerajaan negeri, malah saingan sebenar PAS ialah BN.

"Kita yakin 30 peratus penyokong PAS tetap setia selain berharap hampir 40 peratus pengundi atas pagar cenderung memilih PAS dalam PRU nanti.

“Kita yakin pengundi atas pagar - dalam suasana kebencian terhadap Umno - akan memberi sokongan kepada PAS untuk terus memerintah Kelantan," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

Sebagai rekod PAS Kelantan sudah memerintah negeri Kelantan selama hampir 27 tahun.

PAS menguasai negeri Serendah Sekebun Bunga itu pada PRU kelapan (1990) namun ketika itu parti terbabit tidak bersendirian. PAS menjalin kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada PRU ke-12 PAS menjalin kerjasama politik dengan PKR dan DAP sebelum memilih untuk menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia pimpinan bekas pemimpin kanan Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Pada PRU ke-14 nanti, PAS dilihat berdepan cabaran baru dalam usaha mempertahankan satu-satunya negeri yang dikuasai mereka ketika ini.

Untuk kekal menjadi kerajaan PAS perlu menghadapi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN.

Sementara itu, Che Abdullah yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu dan exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan berkata, rakyat negeri itu tiada keperluan untuk mengundi parti lain kecuali PAS.

"Tiada sebab pengundi PAS mahu menjatuhkan kerajaan negeri, malah sebahagian pengikut pemimpin AMANAH sudah kembali semula kepada kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS