Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM akan tarik balik penyitaan 10 juta bauksit di Pahang
Diterbitkan:  Dec 21, 2017 11:33 PM
Dikemaskini: 10:37 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menarik balik penyitaan simpanan stok bauksit yang dianggarkan lebih 10 juta tan di Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata keputusan itu dibuat setelah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Geosains dan Mineral serta kerajaan negeri Pahang bersetuju memperkenalkan peraturan baharu bagi mengekang isu perlombongan bauksit secara tidak sah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kerugian kepada hasil kerajaan negeri.

Tindakan ini juga diyakini dapat membantu mengurangkan isu rasuah dan salah guna kuasa, khususnya melibatkan aktiviti bauksit haram ini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata penarikan balik arahan penyitaan bauksit itu adalah bagi membolehkan pengusaha bauksit mengeluarkan simpanan stok tersebut dalam tempoh morotarium yang masih berkuat kuasa.

“Perlu diingatkan penarikan balik arahan penyitaan ini tidak bermakna perlombongan baharu dibenarkan di negeri tersebut,” jelasnya.

Azam berkata NRE dan kerajaan negeri juga telah menetapkan peraturan yang perlu diakuri oleh pihak pengusaha bauksit bagi menjamin pengeluaran simpanan stok bauksit dibuat secara teratur.

“Oleh yang demikian, pengusaha bauksit perlu menandatangani aku janji sebelum permohonan Approval Permit (AP) untuk mereka mengeluarkan simpanan stok diluluskan oleh NRE.

“Antara aku janji tersebut ialah mereka tidak akan terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata SPRM akan bekerjasama dengan NRE dan kerajaan negeri dalam memantau pemindahan simpanan stok bauksit yang telah diluluskan dan juga untuk memastikan tidak berlaku perlombongan bauksit baharu di kawasan yang tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri setakat ini.

Mana-mana pihak didapati terlibat dalam perlombongan bauksit secara tidak sah akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan, katanya.

Azam berharap orang ramai memberi kerjasama kepada SPRM dengan membekalkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti perlombongan bauksit secara haram supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS