GLOBAL l Polis Australia berkata pada hari Jumaat bahawa tiada bukti menunjukkan pemandu yang sengaja merempuh pejalan kaki di bandaraya Melbourne pada hari Khamis ada kaitan dengan organisasi ekstremis.

Bercakap dalam satu sidang media pada hari Jumaat, Pesuruhjaya Pemangku Ketua Polis Shane Patton berkata polis telah mengadakan perbincangan awal dengan pemandu berusia 32 tahun itu, tetapi belum ada lagi temubual formal.

Lelaki keturunan Afghan itu, bercakap mengenai "mimpi dan suara-suara", tetapi turut mengaitkan beberapa aktiviti dengan layanan buruk terhadap umat Islam.

"Kami belum mengenal pasti sebarang kaitan ekstremis dengan lelaki ini. Kami tidak mengenal pasti kaitannya dengan sebarang kumpulan," kata Patton.

"Kami belum mengenal pasti sesiapa yang menghasutnya melakukan apa-apa tindakan atau sebarang aktiviti ekstremis."

Patton berkata terdapat 12 orang masih dirawat di hospital dengan seorang lelaki berusia 80-an, dalam keadaan kritikal. Polis berkata budak lelaki berusia empat tahun adalah antara mangsa yang cedera, tetapi tidak lagi dalam keadaan kritikal.

Serangan itu berlaku di Flinders Street, jalan utama di sepanjang Sungai Yarra, di daerah pusat perniagaan kedua terbesar di Australia.

Pada bulan Januari, empat orang terbunuh dan lebih 20 lagi cedera apabila seorang lelaki sengaja merempuh pejalan kaki hanya beberapa ratus meter jauhnya dari tempat serangan pada hari Khamis. Itu juga bukan satu serangan keganasan.


[Baca berita penuh]