Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tak pernah hentikan siasatan kes Wang Kelian
Diterbitkan:  Dec 23, 2017 5:56 AM
Dikemaskini: 10:16 PM

Polis tidak pernah berhenti atau cuba menutup sebarang siasatan mengenai penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit di Wang Kelian, Perlis seperti dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata siasatan kes itu masih berjalan dan pihaknya dalam proses mendakwa beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Sebenarnya polis tidak pernah berhenti atau terdapat cubaan untuk menutup kes berkenaan sebaliknya siasatan masih diteruskan cuma kita tidak menguar-uarkan (berhubung siasatan itu) kepada orang ramai mengenai perkara berkenaan.

"Siasatan masih berterusan dan setakat ini empat orang sudah didakwa dan beberapa lagi dalam proses didakwa malah polis juga telah kenal pasti 10 lagi suspek dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang di George Town malam tadi.

Beliau berkata polis juga sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan 10 individu yang dipercayai berada di beberapa negara jiran.

Noor Rashid berkata pihak polis juga akan mengadakan satu sidang akhbar khas berhubung kes itu dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar supaya semua pihak terutama orang ramai faham situasi terkini mengenainya.

"Polis akan beri penjelasan mengenai perkembangan kes itu dalam masa terdekat cuma saya nak tegaskan kami tidak pernah cuba untuk tutup atau hentikan siasatannya," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS