Kematian ke-16 dalam tahanan: Suhakam temubual polis dan seorang tahanan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah menemubual sembilan anggota polis dan seorang tahanan sebagai sebahagian daripada penyiasatannya terhadap kematian G Ganeshwaran.
Menurut Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph, temubual dengan anggota keluarga Ganeshwaran dan ahli patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah dijadualkan pada hari Selasa.
Ketika dihubungi semalam, Joseph berkata siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya belum boleh membuat kesimpulan.
Ganeshwaran, 29, ditahan Khamis lepas dan menjadi tidak sihat. Dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital pada hari Isnin.
Polis daerah Klang Selatan mendakwa Ganeshwaran mengalami masalah nausea dan asma apabila dibawa ke bilik soal-siasat.
Polis juga berkata tidak ada unsur-unsur jenayah kerana tidak ada tanda-tanda kecederaan luaran.
Menurut Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, ibu Ganeshwaran mempunyai cerita yang berbeza mengenai insiden itu.
Menurut Santiago, ibu itu telah bertemu dengan Ganeshwaran ketika dia masih dalam tahanan dan mengadu yang dia (Ganeshwaran) dipukul.
Santiago berkata, ibu itu memberitahunya terdapat darah di mulut Ganeshwaran dan anaknya itu pengsan ketika bercakap dengannya.
Ganeshwaran adalah seorang kerani penghantaran dari Klang.
Kematiannya menyebabkan tokoh pembangkang menuntut dijalankan siasatan terperinci serta menegaskan keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis Bebas (IPCMC).
Kumpulan hak asasi manusia Suaram memberitahu Malaysiakini bahawa ia telah merekodkan 16 kes kematian dalam tahanan tahun ini.

