Ekoran tindakan Korea Utara melakukan ujian balistik antara benua baru-baru ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara pada hari Jumaat. mengenakan sekatan baru ke atas negara itu yang menghadkan aksesnya kepada produk petroleum yang ditapis dan minyak mentah serta pendapatannya dari pekerja di luar negara.

Resolusi PBB itu menyekat hampir 90 peratus kadr eksport petroleum ditapis ke Korea Utara dengan menetapkannya kepada 500,000 tong setahun dan, dalam perubahan pada saat-saat akhir, menuntut kepulangan warga Korea Utara yang bekerja di luar negeri dalam tempoh 24 bulan, bukannya 12 bulan seperti cadangan awal.

Resolusi yang didraf oleh AS itu juga menghadkan kadar bekalan minyak mentah ke Korea Utara pada 4 juta tong setahun dan mengurangkannya lagi jika negara itu melakukan satu lagi ujian nuklear atau melancarkan satu lagi ICBM.

Korea Utara pada 29 November berkata ia berjaya menguji ICBM baru yang mendedahkan tanah besar AS terhadap pelbagai senjata nuklearnya.

Ketegangan telah meningkat berhubung program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Diplomat AS telah menjelaskan bahawa mereka sedang mencari penyelesaian diplomatik tetapi mencadangkan resolusi sekatan baru yang lebih tegas untuk mengenakan tekanan terhadap pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

"Ia menghantar mesej yang jelas kepada Pyongyang bahawa kedegilannya yang berterusan akan mengundang lebih banyak hukuman dan pengasingan," kata Nikki Haley, duta besar AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas pengundian 15-0.

Misi Korea Utara ke PBB tidak memberi reaksi segera ketika diminta memberi komen.

Wu Haitao, timbalan duta China, berkata ketegangan berkaitan risiko terhadap semenanjung Korea "telah melampaui kawalan" dan dia mengulangi gesaan Beijing supaya diadakan rundingan. [Baca berita penuh]

- Reuters