Negara-negara Arab percaya bantuan AS selamat walaupun menentang Trump
Sekutu-sekutu utama Arab yang berdepan dengan ancaman Donald Trump untuk memotong bantuan berkata pada hari Jumaat bahawa mereka tiada pilihan selain menentang presiden AS itu berhubung tindakannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, dan tidak percaya yang Trump akan meneruskannya.
Lebih 120 negara, termasuk semua negara Arab, mengundi di Perhimpunan Agung PBB pada hari Khamis untuk menggesa Amerika menarik balik keputusannya, yang diumumkan awal bulan ini.
Trump mengancam untuk memotong bantuan kewangan kepada negara-negara yang mengundi menyokong resolusi PBB itu, yang dirangka oleh Mesir dan disokong oleh semua anggota Majlis Keselamatan PBB kecuali Washington.
Dia mengulangi ancamannya pada hari Jumaat, dalam tulisan di Twitter: "Setelah bodoh menghabiskan $7 trilion di Timur Tengah, sudah tiba masanya untuk memulakan pembinaan semula negara kita!"
Bagi Mesir dan Jordan, antara penerima utama bantuan AS tetapi sekian lama melabur dalam proses perdamaian Israel-Palestin, ancaman Trump itu tidak diambil serius selepas mengundi menolak tindakan AS itu.
"Rakyat Amerika lebih tahu daripada orang lain bahawa negara Jordan yang stabil sangat penting kepada kepentingan AS di rantau ini," kata seorang menteri kerajaan yang tidak mahu namanya disebutkan.
Untuk kerjasama dalam pertahanan dan bidang lain, Jordan menerima kira-kira AS$ 1.2 bilion setahun dari Washington.
"Kami tidak jangka pentadbiran Amerika akan menyentuh bantuan itu tetapi jika ia berbuat demikian, ini hanya akan menambah masalah ekonomi Jordan," kata menteri itu.
Tidak dapat diduga
Bekas perdana menteri Jordan Taher al-Masri berkata peranan Jordan sebagai sekutu di rantau yang tidak menentu itu di mana pergolakan akan menyebabkan serangan ke atas bumi AS, mungkin akan memastikan bantuan itu selamat.
"Trump tidak memberi kita bantuan sebagai satu kebajikan. Jordan melakukan peranan serantau dalam kestabilan yang kami tidak pernah gagal melaksanakannya," katanya.
Dalam tanda kebimbangan mengenai Trump yang sukar diramal, beberapa pegawai Jordan bagaimanapun, secara peribadi menyatakan kebimbangan mereka.
Masri berkata resolusi PBB akan menerima lebih banyak undi dari negara-negara anggota sekiranya Trump tidak membuat ancamannya itu.
Bagi negara-negara Arab dan Muslim, apa-apa selain daripada penolakan keputusan Trump mengenai Baitulmuqaddis, adalah mustahil, katanya.
Bangsa-bangsa di seluruh dunia telah mengkritik langkah itu sebagai merosakkan peluang untuk menamatkan konflik Israel-Palestin, dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas menolak sebarang peranan AS dalam proses damai. [Baca berita penuh]
- Reuters

