1,000 pelajar gunting rambut, baiki kasut percuma
Kira-kira 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Kota Belud berpeluang menikmati perkhidmatan gunting rambut serta membaiki kasut secara percuma melalui program Kembali Ke Sekolah 2018.
Program anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Yayasan Jalinan Rakyat Kota Belud yang bermula seawal 7.30 pagi itu menerima sambutan cukup menggalakan daripada ibu bapa.
"Program ini memang menjimatkan perbelanjaan kami sekeluarga. Tahun ini adalah tahun kedua saya mengikuti program ini. Saya tiba kira-kira 7 pagi tadi," kata seorang surirumah Arnie Soluin, 31, dari Kampung Tambulion Ulu, ketika ditemui di majlis berkenaan.
Arnie yang bergantung pada pendapatan suaminya seorang pemandu bas berkata bagi ibu bapa berpendapatan rendah seperti mereka, sememangnya program itu amat baik dan perlu diteruskan pada masa-masa akan datang.
Katanya pada tahun ini, beliau membawa tiga anaknya yang semuanya masih bersekolah untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma itu.
Harris Paya, 41, dari Kampung Pirasan pula berkata pada program kali ini beliau membawa lima anaknya untuk mendapat perkhidmatan gunting rambut percuma berkenaan.
"Program ini memang terbaik. Kalau di kedai gunting, bayarannya ialah RM10 seorang. Jadi melalui program hari ini, saya dapat jimatkan RM50," katanya.
Katanya sekiranya program tersebut masih dianjurkan tahun hadapan, beliau tentu akan membawa lagi anak-anaknya untuk mendapat perkhidmatan gunting rambut percuma.
Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang hadir pada program tersebut berkata ia adalah khidmat komuniti untuk memberi keringanan kepada golongan kurang mampu.
Beliau berkata ia terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang kaum, agama serta fahaman politik.
- Bernama

