Pelik tapi benar. Seekor kerbau tercampak masuk ke dalam sebuah kereta mewah melalui bumbung suria kenderaan itu dalam kemalangan di Km12, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan malam tadi.

Kerbau tersebut tercampak masuk selepas dilanggar kereta jenis Porsche Cayenne yang dinaiki tiga sekeluarga dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak Supt Yahaya Hassan berkata dalam kemalangan itu keluarga terbabit hanya mengalami cedera ringan manakala kereta mereka remuk di bahagian hadapan dan bumbung suria pecah.

Katanya semasa kejadian kenderaan yang dipandu Teoh Sook Hua, 30-an bersama suaminya Pang Fei Jiang, 30-an dan anak mereka Jannice Phang Jing Xuen, 9, sedang dalam perjalanan dari Bandar Teluk Intan menghala ke Langkap.

"Semasa tiba di tempat kejadian pemandu telah melanggar seekor kerbau yang sedang melintas jalan sehingga menyebabkan haiwan berkenaan melambung ke bumbung dan mati di tempat kejadian.

"Semua mangsa yang cedera ringan dibawa mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Anson Bay. Siasatan masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya dalam pada itu meminta penternak haiwan peliharaan agar menjaga ternakan masing-masing dan tidak membiarkan haiwan mereka bebas bergerak sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Tiga beranak maut

Sementara itu di Kuantan, tiga beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit di Jalan Kuantan-Pekan, berhampiran Kampung Batu Putih hari ini.

Mereka yang terkorban dalam kemalangan pada kira-kira 5.45 pagi itu ialah Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi,14, yang dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke rumah di Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, Terengganu.

Ibu saudara mereka, Salma Ibrahim, 58, dan anaknya Nurul Aliyani Zawawi, 25, turut cedera dalam kemalangan itu dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

Seorang saudara mangsa yang enggan dikenali semasa ditemui di Jabatan Forensik HTAA berkata mangsa ke Melaka untuk melawat saudara-mara selepas menghantar ibu bapa dan seorang lagi adik perempuan mereka menunaikan umrah pada hari Khamis lalu.

"Saya tahu mengenai kejadian ini kira-kira jam 7 pagi selepas dihubungi Nurul Aliyani yang dapat keluar daripada kenderaan selepas beberapa jam kenderaan itu berada di dalam parit.

"Dia beritahu tiga beradik itu sudah meninggal dunia. Luluh hati saya mendengar berita itu... saya tidak tahu bagaimana hendak beritahu kepada ibu bapa mereka yang berada di Makkah," katanya.

- Bernama