Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Merdeka, dengan darah!' laungan API kembali selepas 71 tahun

Di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, laungan perjuangan daripada zaman prakemerdekaan bergema di jalanan.

"Merdeka! Dengan darah!" laung sejumlah 100 yang rata-ratanya golongan muda.

Walaupun dengan laungan seumpama itu, peserta acara Rapat Umum Malaysia Muda hari ini bukanlah ingin mencetuskan sebarang kekecohan, sebaliknya mengenang kembali laungan kemerdekaan oleh sebuah gerakan yang berpengaruh ketika itu - Angkatan Pemuda Insaf (API) - sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Sebuah parti kiri yang, walaupun tidak bertahan lama, sangat signifikan ketika zaman sebelum Merdeka, dan sentiasa terpahat dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

Ia diasaskan pada 15 Februari 1946 dan diharamkan British pada 17 Julai 1947.

Salah seorang anggota terawal gerakan itu, Ishak Surin (gambar), hadir sebagai tetamu khas acara mengenang ulang tahun ke-71 API itu.

Dalam ucapannya, beliau menggesa agar sentiasa memastikan semangat API terus menyala demi memperjuangkan negara yang lebih baik untuk rakyatnya.

"Sejarah ini bukan sahaja kita ingati, tetapi hendaklah diteruskan sehingga negara kita ini menjadi adil dan makmur.

"Kita amat kecewa dan marah apabila kemerdekaan yang diperjuangkan para pejuang terdahulu telah dimonopoli oleh mereka yang bacul, yang mengkhianat, yang menginjak-injak rakyat negara ini," kata aktivis veteran itu yang pernah aktif dalam PAS dan kini menjadi Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Batu.

Beliau turut menyeru hadirin untuk mengingati perjuangan pengasas API dan PKMM, Ahmad Boestamam, yang dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, tidak lama selepas menang kerusi Parlimen Setapak pada pilihan raya umum (PRU) 1959 - PRU pertama selepas kemerdekaan.

Mandi bunga-kan negara

Acara bermula dengan hadirin berkumpul di depan pusat membeli-belah Sogo dan seterusnya berarak ke Maju Junction.

Hampir semua berpakaian putih dengan lilitan merah di lengan kiri - pakaian putih adalah uniform anggota API sebelum kongres pertamanya pada 1946.

Dengan iringan ketukan gendang, mereka menyanyi dan berarak sambil mengangkat sepanduk dan plakad bertulisan rumi, jawi, tamil dan cina tetapi dengan mesej yang sama - menggesa rakyat bangkit demi negara.

Selain ucapan oleh Ishak, acara yang berlangsung sejam itu turut menampilkan deklamasi sajak, monolog, dan ditutup dengan mandi bunga, sebagai simbolik membersihkan negara ini daripada masalah yang menyelubunginya.

Antara momen yang sukar dilupa apabila ada baris sajak yang dibacakan 'kena' dengan lirik yang dinyanyikan buskers di depan Sogo, dan ia berlaku tanpa dirancang.

Antaranya sajak penyair Indonesia WS Rendra bertajuk Sajak Anak Muda yang antaranya menyentuh soal golongan itu dalam masyarakat yang dibaca seorang aktivis. Pada masa sama, vokalis kumpulan buskers itu menyanyikan lirik "hey what's going on?" daripada lagu What's Up nyanyian kumpulan rock Amerika 4 Non Blondes.

Ketika seorang hadirin sedang mempersembahkan monolog berkisar perjuangan saban hari rakyat marhaen, lirik "we are fighting" daripada lagu Zombie oleh kumpulan The Cranberries pula menjadi lagu latarnya.

Jurucakap Malaysia Muda Amir Abdul Hadi berkata, objektif acara itu adalah untuk mengenang perjuangan Ahmad Boestamam.

Beliau juga berpuas hati dengan kehadiran yang menurutnya mencapai sasaran.

"Kami hanya mensasarkan 50 hingga 100 yang hadir...tetapi dengan jumlah hari ini, ia adalah permulaan yang baik.

"Selain itu kami juga berharap agar tiada pertembungan dengan pihak polis. Kami mahu ia berakhir dengan aman," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas acara berakhir.

Sejumlah 20 anggota polis ditugaskan untuk berjaga di sekitar kawasan itu sejak pukul 1 tengah hari, iaitu waktu acara itu dijadual bermula.

Lihat Komen
ADS