PAS mungkin letak 4 calon bukan Islam di Pahang
PAS Pahang kemungkinan akan meletakkan tiga atau empat calon bukan Islam mewakili parti itu bagi kerusi Dun dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata calon berkenaan terdiri daripada masyarakat Cina, India dan Orang Asli.
Satu kerusi Parlimen sudah dikenal pasti untuk tujuan itu manakala selebihnya kerusi DUN masih dalam pertimbangan calon yang layak, katanya seperti dilapor Sinar Harian.
“Setakat hari ini kita sudah kenal pasti calon bagi kerusi Parlimen manakala bagi kerusi DUN masih dalam pertimbangan namun ia masih boleh berubah saat akhir.
“Antara senarai calon termasuklah Cina, India dan Orang Asli bukan Islam yang dalam pertimbangan kami,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang di Kompleks al-Makmur, Kerdau semalam.
Menurutnya, PAS meletakkan calon bukan Islam kerana sumbangan penyokong bukan Islam kepada PAS menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sejak sekian lama.
Beliau berkata, PAS Pahang akan bertanding 38 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen di Pahang pada PRU14 dengan menjalinkan kerjasama bersama Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Ikatan Sejahtera yang mempunyai kekuatan 200 NGO.
Menurutnya, PAS Pahang yakin menang 25 daripada 38 kerusi DUN manakala tujuh bagi kerusi Parlimen.

