Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pihak yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit disaran mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Bauksit Kuantan (GERAM) Ali Akbar Othman berkata suara wakil penduduk wajar diambil perhatian kerana mereka antara golongan yang terkesan daripada perlombongan bauksit sebelum ini.

Sehubungan itu, Ali Akbar menyifatkan pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik semula sitaan 10 juta tan stockpile (simpanan stok) bauksit Khamis lalu, boleh memberi kesan buruk jika tiada langkah kawalan berkesan dilakukan.

"Sepanjang tempoh moratorium, kehidupan penduduk amat selesa selepas melalui tempoh penuh kesengsaraan akibat sikap tamak peniaga bauksit. Tiada persekitaran yang kotor, berdebu dan gangguan jalan raya yang menakutkan.

"Suasana ini bakal berubah sekiranya kerajaan tidak bersungguh-sungguh menyediakan mekanisme berkesan bagi mengawal kegiatan perlombongan dan pengangkutan jika aktiviti bauksit diteruskan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berdasarkan senario itu, Ali Akbar mencadangkan supaya satu perbincangan terbuka antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan terlibat, wakil penduduk dan pengusaha bauksit diadakan untuk mencari penyelesaian ‘menang-menang'.

Katanya perbincangan itu juga platform terbaik untuk mengatasi semua kelemahan yang berlaku pada perlombongan masa dahulu.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andasura Rabu menyarankan supaya semua aktiviti berkaitan bauksit tidak diteruskan selagi tiada penambahbaikan atau garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan.

Beliau juga menuntut SPRM untuk mengumumkan jika terdapat unsur rasuah dalam aktiviti perlombongan itu sebelum ini supaya tindakan sewajarnya dapat diambil segera.

"Cadangan supaya satu aku janji dibuat oleh semua yang terlibat dengan aktiviti bauksit kerana dibimbangi ia hanya satu janji kosong yang tidak mampu mengekang unsur rasuah pada masa akan datang," katanya.

Pada Khamis lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengumumkan penarikan itu, yang menurutnya bagi membolehkan pengusaha bauksit mengeluarkan stockpile dalam tempoh moratorium yang masih berkuat kuasa.

Beliau berkata keputusan itu susulan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Mineral dan Geosains serta kerajaan Pahang bersetuju memperkenalkan satu peraturan baru yang perlu dipatuhi pengusaha bauksit.

Antaranya, pengusaha bauksit perlu menandatangani aku janji sebelum NRE meluluskan permohonan Permit Kelulusan (AP) untuk mereka mengeluarkan stockpile, yang antara lain menyatakan mereka tidak akan terbabit rasuah dan salah guna kuasa.

Pada hari ini, NRE menerusi kenyataan media, memaklumkan tempoh moratorium bauksit yang dijadual berakhir pada 31 Disember ini, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2018 dengan beberapa penambahbaikan.

Kenyataan itu turut menyebut penambahbaikan dilakukan berdasarkan input agensi berkaitan termasuk SPRM selain menyatakan kementerian bersetuju mempertimbangkan permohonan eksport bauksit dalam tempoh moratorium bagi keadaan tertentu.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS