Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad dilapor bersedia memberi keterangan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan isu kontroversi pemindahan tanah milik Felda di Jalan Semarak.

"Polis dan SPRM panggil nanti saya datang la, kena kerjasama. Tapi setakat ini belum lagi (di panggil polis).

"Tan Sri Shahrir (Pengerusi Felda) pun dah report polis, jadi biar polis siasat," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu enggan mengulas isu pemindahan milik tanah Felda di Jalan Semarak kerana tidak mahu ia menjadi polemik politik.

Terdahulu, Mohd Isa memberi tahu media dia tidak melarikan diri daripada wartawan.

"Hari Jumaat saya seharian di Jempol, semalam di Kuala Pilah dan hari ini di Port Dickson," katanya ketika ditemui di Program Kempen Tabung Pahlawan 2017 Peringkat Parlimen Telok Kemang di Tapak Pasar Malam Batu 4 Port Dickson.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini melaporkan, Felda berisiko hilang pemilikan tanah bernilai RM270 juta di Jalan semarak, Kuala Lumpur, ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa "meragukan".

Penilai bebas menganggarkan harga tanah berkenaan kini mencecah RM1 bilion.

Tanah itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara Felda, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Isa adalah pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 selain merupakan bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan bekas Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad sebelum ini berkata laporan polis telah dibuat selepas isu itu dibangkitkan di Jabatan Perdana Menteri 12 Disember lalu.

Namun ketika ditanya sama ada laporan polis turut menamakan Isa atau ahli lembaga pengarah pada waktu itu, Shahrir berkata hanya pemaju disebut dan menyerahkan soal lain kepada polis untuk siasatan.