Pelajar 15 tahun antara ditahan kerana merempit
Seorang pelajar berumur 15 tahun antara lima penunggang yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan/Rempit di Jalan Kamunting-Taiping di Taiping, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid berkata selain itu, sebanyak 25 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, nombor plat tidak ikut syarat, tiada cermin sisi dan motosikal diubah suai.
Beliau berkata operasi tiga jam yang bermula kira-kira 3 pagi tadi disertai sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, JSPT Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
“Semasa operasi kita nampak beberapa motosikal ditunggang oleh suspek berlumba sesama sendiri, menundukkan badan dan melakukan aksi zig zag dari lampu isyarat berhampiran pasar raya The Store hingga ke pusingan U berhampiran dengan Katering Masa.
“Suspek telah beberapa kali melakukan pusingan perlumbaan dan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan di Taiping, hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan sebelum dibawa ke IPD Taiping untuk tindakan selanjutnya. -Bernama

