MTSPJ sumbang RM30,400 kepada anak yatim, asnaf
Menjelang sesi persekolahan 2018, Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ) Kangar menyumbang wang tunai sebanyak RM30,400 kepada anak-anak yatim dan asnaf untuk membeli keperluan mereka, hari ini.
Setiausaha MTSPJ Zamri Ali berkata seramai 26 anak yatim dan 58 asnaf terlibat masing-masing menerima RM500 dan RM300 setiap seorang.
Sumbangan disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) merangkap pengerusi MTSPJ Dr Hazman Hassan.
Zamri berkata wang tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai menerusi tabung yang disediakan pengurusan masjid khusus untuk tujuan tersebut.
“Sumbangan ini adalah kali kedua selepas kali pertama disumbangkan untuk golongan terlibat membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri Jun lepas iaitu anak yatim diberi RM300 seorang, manakala asnaf RM100 seorang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zamri berkata seramai 150 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia enam hingga 13 tahun yang mengikuti kem hafazan al-Quran dan jawi anjuran MTSPJ sejak awal bulan ini, menampakkan kesan berikutan ramai antara mereka mampu menghafal beberapa surah dan menulis jawi.
Penganjuran kem yang mendapat kerjasama JAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra itu akan berakhir hujung bulan ini. -Bernama

