Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hujah Rozaimi 'entah apa-apa', kata PAS Marang
Diterbitkan:  Dec 25, 2017 5:20 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

PAS Marang menyifatkan ahli akademik Dr Rozaimi Ramle tidak faham kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu penamaan calon perdana menteri yang berbentuk sindiran.

Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Marang Zakaria Ismail berkata, kritikan Abdul Hadi adalah untuk menjelaskan kepentingan perjuangan mendaulatkan dasar Islam dan bukan setakat memilih atau mengubah perdana menteri.

"Artikel itu bukanlah mengenai haram menamakan calon bakal perdana menteri, atau haram atau tidak meminta jawatan," katanya dalam kenyataan yang disiarkan Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata, Hadi menyindir tindakan "golongan yang ghairah mahu ke Putrajaya" untuk menamakan bakal perdana menteri mereka.

"PAS pula tidak mahu bercakap lagi tentang isu ini, lebih menekankan aspek praktikal iaitu berusaha memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

"Jika tidak banyak kerusi, cadangan nama perdana menteri daripada PAS tidak banyak mempunyai erti," katanya yang menyifatkan hujah Rozaimi sebagai dangkal, tidak ilmiah dan berdasarkan kebenciannya terhadap PAS dan Hadi.

Dalam artikelnya 23 Disember lalu, Rozaimi mengatakan kisah Bani Amir, yang bertanyakan jawatan pemimpin kepada Nabi Muhammad, sebenarnya tidak merujuk kepada tindakan menamakan bakal pemimpin, seperti yang dinyatakan Hadi.

"Jika dilihat ia tidak berkaitan dengan penamaan calon pemimpin. Sebaliknya ia berkaitan dengan isu meminta jawatan," kata Rozaimi yang merupakan pensyarah hadis di Universiti Perguruan Sultan Idris.

Malah Rozaimi menyifatkan kenyataan Hadi itu sebenarnya yang bercanggah dengan adab Islam kerana membawa nama agama untuk menyokong tindakan secara "sewenangnya'.

Kesimpulan yang entah apa-apa pada pendapat saya," kata Zakaria pula, mengulas kenyataan itu.

Bahaya heret nama Islam

Pada 22 Disember lalu, Hadi menyelar tindakan pihak yang mengutamakan soal calon perdana menteri dan pembentukan Kabinet bayangan dengan memetik riwayat pertanyaan Bani Amir kepada Nabi Muhammad.

"Apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya, lantas Baginda SAW bersabda: 'Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya'.

"Maka PAS tidak mendahulukan pembentukan Kabinet atau melantik siapa bakal perdana menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah," katanya.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada HARAPAN yang bakal mengumumkan calon perdana menterinya bulan depan.

Kenyataan tersebut dikritik beberapa pihak, antaranya Pengarah Syariah Parti Amanah Negara (AMANAH), Zolkharnain Abidin yang menyifatkannya sebagai langkah mundur dan hanya untuk "menghiburkan" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Wan Ji Wan Hussin pula berkata pandangan itu bahaya dan mengelirukan memandangkan Hadi sendiri dikatakan mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri pada PRU ke-13.

Selepas mengkritik Hadi, Rozaimi menjelaskan tindakannya itu kerana bimbang melihat nama agama diheret dalam setiap tindakan.

"Tiada masalah jika tidak mahu calonkan perdana menteri kerana pertimbangan politik. Tetapi apabila dikaitkan dengan adab Islam, ia isu besar dan perlukan dalil terperinci.

"Tiada masalah jika ijtihad berbeza, tetapi bahaya apabila dikatakan (sesetengah perkara) sebagai adab Islam (atau bukan) sedangkan ia tidak begitu," katanya di Facebook.

Lihat Komen
ADS