Kematian pelombong cetuskan tunjuk perasaan di Maghribi
GLOBAL I Beribu-ribu orang mengadakan tunjuk perasaan di bandar Jerada yang terletak di Maghribi berikutan kematian dua lelaki muda di lombong arang batu, lapor agensi berita China Xinhua.
Mangsa, dua beradik berusia 23 dan 30 tahun, meninggal dunia pada Jumaat ketika menggali sebuah lombong tinggal secara haram dan mencetuskan kemarahan di Jerada, yang selama ini bergantung hidup dengan aktiviti perlombongan.
Gelombang bantahan bermula pada Jumaat dengan kemarahan terhadap apa yang disifatkan oleh keluarga mangsa dan penduduk tempatan sebagai "kelewatan mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa dari lombong serta kekurangan peralatan yang mencukupi di pihak anggota pasukan penyelamat tempatan."
Laman berita The Moroccan Hespress.com menyebut operasi menyelamat mengambil masa kira-kira 36 jam.
Bantahan semakin meningkat pada hujung minggu dan mencapai kemuncaknya pada Isnin di majlis pengebumian kedua-dua beradik itu.
Satu mogok umum diadakan di bandar itu dengan ribuan orang menghadiri majlis pengebumian mangsa.
Pada lewat Isnin, penunjuk perasaan berarak di jalan-jalan utama bagi menuntut keadilan untuk mangsa dan langkah memperbaiki keadaan hidup di bandar itu.
Bandar itu telah membangun berikutan perkembangan pesat aktiviti perlombongan sejak 1920-an namun menerima tamparan hebat pada lewat 1990-an selepas lombong yang menggunakan tenaga kerja beribu-ribu penduduk tempatan ditutup.
Bagaimanapun, kebanyakan penduduk tempatan terus melakukan perlombongan haram manakala yang lain berhijrah ke bandar lain untuk mencari peluang kerja.
Menurut laman berita Medias24.com, sehingga 3,000 orang di bandar itu melombong secara haram dan mengeluarkan beratus-ratus tan arang batu setiap hari.
Bercakap pada sidang Parlimen, Perdana Menteri Maghribi Saad Eddine El Othmani berkata satu siasatan telah dibuka dalam kes itu dan beliau turut menzahirkan kesediaan untuk bertemu anggota Parlimen Jerada.
Pada sidang sama, penggubal undang-undang menggesa agar perlombongan haram itu dihentikan dan mendesak kerajaan memikul tanggungjawab bagi memastikan keadaan hidup yang baik untuk semua rakyat. -Bernama

