Janganlah hina ADUN PAS
Jangan menghina wakil-wakil rakyat PAS Selangor - itu mesej yang disampaikan naib presiden parti berkenaan, Datuk Iskandar A Samad.
Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka ternyata kesal dengan sesetengah pihak yang membuat fitnah kononnya ada ADUN Selangor yang mahu menyertai PKR.
Lebih mengecewakan Iskandar ialah pihak yang mempercayai akan fitnah berkenaan.
Hakikatnya kata Iskandar ADUN terbabit terbukti berdiri teguh di belakang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Sayang, ramai yang lupa apa yang telah terjadi ketika berlaku Kajang Move. ADUN-ADUN inilah yang berdiri teguh di belakang presiden.
"ADUN-ADUN inilah yang menyokong penuh keputusan presiden untuk mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim (yang ketika itu menjadi menteri besar Selangor).
"Walaupun tekanan dan pujukan diterima amat hebat sehingga 2 ADUN kecundang, tetapi 13 ADUN ini tidak berganjak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa hari lalu tersebar khabar mendakwa ada ADUN PAS akan meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai PKR.
Bukan minta dihargai
Antara faktor yang mendorong ADUN terbabit 'melompat kapal' itu ialah bagi memastikan mereka kekal dicalonkan - dan berpotensi lebih besar untuk menang - dalam pilihan raya umum akan datang.
Mandat kerajaan akan berakhir pada Jun tahun depan namun parlimen dijangka dibubakarkan lebih awal, atau kurang dari 100 hari dari sekarang.
Berbeza daripada amalan negara lain, tarikh pilihan raya umum di Malaysia tidak diumumkan sehinggalah ke saat-saat akhir oleh perdana menteri.
Kata Iskandar jika faktor jawatan didakwa menjadi punca ADUN PAS mahu keluar parti, krisis ketika Kajang Move itu lebih tinggi berbanding sekarang.

Ketika itu katanya 13 ADUN PAS kekal istiqamah walaupun ada kemungkinan parti terbabit akan terkeluar daripada kerajaan negeri.
"Jika mereka bimbang kehilangan jawatan maka sudah tentu mereka akan menurut jejak ADUN Hulu Kelang dan Morib. Tetapi mereka tidak.
"Mereka terus kekal menyokong keputusan presiden," katanya.
Sekarang kata Iskandar ramai yang bercakap atau menjadi 'nasi tambah' ketika mereka tidak pernah merasai tekanan setakat 10 peratus pun berbanding dialami ADUN PAS terbabit ketika Kajang Move.
"Bukan ADUN PAS sahaja yang terkesan, tetapi keluarga mereka.
"Saya bukan meminta-minta agar jasa mereka dihargai. Saya bukan meminta-minta agar pengorbanan mereka dikenang.
"Hanya jangan menghina mereka," katanya yang juga exco kanan Selangor.

