Susulan khabar angin mengatakan ada ADUN PAS Selangor akan menyertai PKR, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan anggota dan pimpinan parti itu agar lebih waspada mengenai ancaman fitnah.

"Saya ingin mengingatkan semua dengan amaran Rasulullah SAW bahawa fitnah adalah sesuatu yang sedang tidur, Allah melaknat siapa yang mengejutnya."

"Kepada semua ahli dan pimpinan PAS, kita perlu bersedia menghadapi gelombang fitnah yang dipercayai akan lebih dahsyat menjelang PRU14 nanti," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook-nya.

Exco PAS di Selangor Iskandar Samad baru-baru ini menafikan laporan portal berita The Malaysian Insight yang mendakwa jentera pilihan raya PKR diminta bersedia mengurus gelombang kedua kemasukan pemimpin dan anggota PAS di negeri itu.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, laporan itu menyebut kemasukan ADUN PAS berkenaan akan berlaku menjelang PRU14 dan mereka dijangka bertanding menggunakan tiket PKR.

Antara faktor yang dikatakan mendorong ADUN terbabit 'melompat' parti adalah bagi memastikan mereka kekal dicalonkan dan berpotensi untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menyifatkan khabar angin itu sebagai fitnah jahat, Tuan Ibrahim berkata beliau menyaksikan sendiri ADUN PAS di Selangor tetap istiqamah walaupun pelbagai isu melanda kerajaan negeri.

"Mereka sangat tabah, sabar dan tetap patuh kepada keputusan parti.

"Akibat kesabaran dan ketabahan mereka inilah wujud pihak yang dengki, iri hari dan berusaha mencetuskan api fitnah agar wujud rasa curiga antara satu sama lain, dan di kalangan ahli PAS," tegas Tuan Ibrahim.

Justeru Tuan Ibrahim menyeru pimpinan dan anggota PAS menumpukan perhatian terhadap Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

"Inilah tugas utama kita sekarang. Jangan biar pihak-pihak yang sengaja mengganggu tumpuan kita dengan memainkan pelbagai isu fitnah," tambahnya.