Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Cukai punca kos hidup naik di Selangor

Seorang pakar ekonomi politik berpendapat tindakan kerajaan negeri Selangor menaikkan cukai dan kos berkaitan hartanah, perumahan dan premis perniagaan mendorong kepada kenaikan kos sara hidup di negeri itu.

Isham Jalil berkata apabila kos seumpama itu naik, ia memberi tekanan kepada sektor perniagaan dari segi kos menjalankan perniagaan yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna.

Lulusan University Harvard, Amerika Syarikat itu menarik perhatian bahawa sejak pembangkang mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Selangor pada 2008, hasil kerajaan negeri dilihat meningkat berdasarkan tindakan menaikkan cukai melibatkan hartanah dan seumpamanya dengan kadar yang tinggi.

“Ini sebenarnya yang mendorong kepada kenaikan kos terutama di bandar,“ kata Isham yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara bertajuk ‘Trend Pemikiran Pengundi Cina’ terbitan Bernama News Channel yang dihoskan Sherkawi Jirim.

Isham memberikan contoh mudah bagaimana kenaikan kos sewaan tapak menyebabkan peniaga pasar malam terpaksa menaikkan harga barang yang dijual kepada pelanggan.

Beliau mendakwa apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang sekarang ialah hasil yang dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan adalah lebih kecil berbanding ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, di bawah pemerintahan BN, kadar bagi cukai-cukai berkaitan hartanah dan premis perniagaan di kedua-dua negeri itu tidaklah setinggi apa yang dikenakan sekarang.

”Sebab itu saya selalu kata kerajaan BN (baik) untuk pertumbuhan dan mesra perniagaan. Tetapi kerajaan pimpinan pembangkang tidak baik untuk ekonomi, untuk perniagaan dan sebenarnya tidak baik untuk rakyat,“ katanya.

Isham berkata kerajaan sedar bahawa kaum Cina yang ramai mencari rezeki dengan berniaga begitu mengambil berat tentang soal ekonomi, kos menjalankan perniagaan dan kos sara hidup.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata kerajaan bertindak menubuhkan jawatankuasa kos sara hidup untuk mengkaji dan mencari jalan mengatasi isu itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS