Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP dakwa Hadi hanya mahu Melayu Islam dalam kabinet
Diterbitkan:  Dec 26, 2017 2:57 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

DAP mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan keanggotaan kabinet hanya eksklusif untuk kaum Melayu Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata langkah sedemikian bercanggah dengan berperlembagaan dan akan memecahbelahkan negara.

"Kabinet yang dicadangkan Hadi adalah tidak mengikut perlembagaan dan menyebabkan kaum bukan Melayu dan bukan Islam menjadi warganegara kelas rendah dengan mengurangkan hak mereka.

"Tidak ada orang bukan Melayu, bukan Islam dan majoriti orang Melayu-Muslim (yang sederhana) di Malaysia akan menerima pendirian melampau dan perkauman seperti ini, yang hanya seperti Taliban," katanya.

Beliau mengulas tulisan Abdul Hadi yang disiarkan di portal rasmi PAS, Harakahdaily Jumaat lalu yang antara lain menyebut:

"Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh.

"Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan, lebih daripada hak yang diberi oleh pendukung dan pejuang ideologi ciptaan manusia dan agama lain terhadap pihak yang berbeza dengan mereka".

Memetik ulama fiqh di antaranya Al-Mawardi, Hadi berkata Islam  mengharuskan perlantikan bukan Islam dalam jawatan Wazir Al-Tanfiz (menteri atau ahli kabinet yang melaksanakan pengurusan), dan bukan Wazir Al-Tafwid (membuat polisi dan dasar negara).

"Di sini adanya keanjalan dalam sistem politik Islam yang tidak fanatik kepartian seperti pendukung ideologi sekular," katanya.

Guan Eng berkata dengan mengambil sikap ekstremis dan perkauman seperti itu, Hadi bukan sahaja akan menakutkan penduduk Sabah dan Sarawak, malah mungkin menyebabkan perpecahan Malaysia dengan mengasingkan Melayu Islam dan bukan Melayu Islam.

"Ini adalah parti politik yang Umno ingin bekerjasama kerana PAS sanggup mengabaikan rasuah BN. Malaysia dijadikan kleptokrasi dengan membenarkan PAS meneruskan objektif perkauman dan pelampau itu," katanya.

Lihat Komen
ADS