Menteri: Kadar elektrik Semenanjung kekal sehingga 2020
Kadar tarif tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia akan kekal sehingga 2020, manakala kadar di Sabah dan Labuan kekal sehingga 30 Jun tahun depan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu.
Menurut laporan NST, beliau berkata kerajaan akan memberikan rebat tarif elektrik sebanyak 1.80 sen per kilowatt jam untuk pengguna Semenanjung dan 1.20 sen per kilowatt jam untuk pengguna Sabah dan Labuan, untuk tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM6.3 bilion untuk rebat kepada pengguna di Semenanjung dan subsidi RM1.631 bilion kepada pengguna di Sabah dan Labuan, untuk tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018.
Pada masa ini, kadar tarif bagi Semenanjung adalah 38.53 sen per kilowatt jam manakala Sabah dan labuan 34.52 sen per kilowatt jam.
Beliau berkata lagi, pengekalan kadar itu adalah usaha ikhlas kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
"Tekad mengekalkan tarif tenaga elektrik semasa jelas menunjukkan kejujuran dan keprihatinan kerajaan yang sentiasa meletakkan soal kebajikan dan kepentingan rakyat sebagai perkara utama.
"Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup di kalangan rakyat," katanya lagi seperti dipetik.

