Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gara-gara mengambil sebuah patung Buddha tanpa kebenaran, dua rakan dijatuhi hukuman denda RM7,500 atau 12 bulan penjara setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di George Town hari ini.

Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap pegawai eksekutif sebuah syarikat pemaju, Lim Su Quinn, 29, dan rakannya Lim Keng Liang, 37, seorang peniaga barangan antik, selepas mereka mengaku bersalah mengambil patung itu di Dewan Sembahyang Penang Buddhist Association, Jalan Anson di George Town pada 11 Dis lepas.

Mereka didakwa mengambil sebuah patung Buddha bernama 'Sleeping Buddha' yang diperbuat daripada batu marmar putih bersama rak kayu kepunyaan persatuan itu di dewan sembahyang berkenaan tanpa kebenaran pada 8.30 pagi, 11 Dis lepas.

Dua rakan itu dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran berikutan kes itu menjadi perhatian masyarakat.

Bagaimanapun peguam R. Puran yang mewakili Su Quinn dan Jeffrey Ooi Ping Hong yang mewakili Keng Liang memohon hukuman ringan kerana kedua-dua tertuduh memberi kerjasama dan menjimatkan masa mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS