GLOBAL l Amerika Syarikat mengumumkan sekatan ke atas dua pegawai Korea Utara yang menjadi pendukung program peluru berpandu negara mereka pada hari Selasa, manakala Rusia mengulangi tawaran untuk menjadi perantara bagi meredakan ketegangan antara Washington dan Pyongyang.

Tindakan terkini AS itu adalah yang terbaru dalam kempen yang bertujuan untuk memaksa Korea Utara - yang tidak pernah mengendahkan pelbagai sekatan - untuk menghentikan program membangunkan peluru berpandu nuklear yang mampu sampai ke Amerika Syarikat.

Perbendaharaan AS menamakan pegawai berkenaan sebagai Kim Jong Sik dan Ri Pyong Chol.

Menurutnya, Kim dilaporkan sebagai tokoh utama dalam usaha Korea Utara untuk menukar program peluru berpandu menggunakan bahan apai cecair kepada bahan api pepejal, sementara Ri dilaporkan menjadi pegawai penting dalam pembangunan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

"Perbendaharaan menyasarkan pemimpin program peluru berpandu Korea Utara, sebagai sebahagian daripada kempen tekanan maksimum kami untuk mengasingkan (Korea Utara) dan mencapai matlamat menjadi Semenanjung Korea bebas daripada senjata nuklear sepenuhnya," kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.

Langkah itu menyekat mana-mana harta atau kepentingan kedua pegawai itu yang mungkin ada di bawah bidang kuasa AS dan melarang sebarang urusan rakyat Amerika Syarikat dengan mereka.

Langkah itu ekoran sekatan baru PBB yang diumumkan Jumaat lepas sebagai tindak balas kepada ujian ICBM pada 29 November oleh Korea Utara yang menurut Pyongyang meletakkan semua tanah besar AS dalam jarak sasaran pelbagai senjata nuklearnya.

Sekatan tersebut bertujuan untuk terus mengehadkan akses Korea Utara kepada produk petroleum ditapis dan minyak mentah sertav pendapatannya dari pekerja di luar negara.

Korea Utara mengisytiharkan langkah PBB itu sebagai satu tindakan perang dan sama seperti sekatan lengkap ekonomi.

Kebuntuan antara AS dan Korea Utara telah menimbulkan kebimbangan konflik baru di Semenanjung Korea, yang kekal dalam keadaan teknikal perang sejak Perang Korea 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.

Washington telah mengatakan bahawa semua pilihan, termasuk ketenteraan, sedang dipertimbangkan dalam berdepan Korea Utara.

Katanya, ia lebih suka penyelesaian diplomatik, tetapi menurutnya, Korea Utara tidak memberi petunjuk bahawa ia bersedia untuk membincangkan pelucutan senjata nuklear.

Tawaran Kremlin

Pada hari Selasa, Kremlin, yang telah lama menyeru kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan, berkata ia bersedia untuk menjadi perantara jika AS dan Korea Utara bersedia untuk memainkan peranan sedemikian.

"Kesediaan Rusia untuk membuka jalan ke arah meredakan situasi itu adalah jelas," kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada wartawan. [Baca berita penuh

- Reuters