Mengimbas peristiwa sepanjang 2017, wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan ia sebagai tahun yang “memuaskan,” paling menyerlah ialah undian Perhimpunan Agung PBB pada 22 Dis lepas yang menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan langkah untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Dalam satu temu bual dengan Bernama di pejabat beliau di misi tetap Malaysia di New York, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, wakil tetap Malaysia ke PBB berkata pengumuman Presiden Trump untuk mengubah status Baitulmaqdis kepada ibu kota Israel adalah bercanggah dengan resolusi 2334 Majlis Keselamatan pada Disember 2016, yang telah mengutuk penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki rejim itu.

“Pendirian kita berhubung isu Palestin adalah satu pegangan yang berprinsip,” kata Muhammad Shahrul Ikram.

“Apa yang diminta oleh Perhimpunan Agung ialah agar AS menghormati resolusi (2334) Majlis Keselamatan,” katanya sambil menambah meskipun resolusi Perhimpunan Agung PBB tidak mengikat dari segi perundangan, ia merupakan satu "kemenangan moral" kepada Palestin.

Selain undian berhubung isu Baitulmaqdis, Malaysia telah bergiat secara aktif pada 2017 bagi meluluskan resolusi pengharaman senjata nuklear.

“Menteri Luar kita (Datuk Seri Anifah Aman) berada di New York untuk menandatangani Perjanjian Larangan Senjata Nuklear pada September 2017 di Perhimpunan Agung,” katanya.

Bagi Malaysia, ada satu lagi sebab mengapa 2017 merupakan tahun yang “sangat berjaya”: ia merupakan tahun yang menyaksikan inisiatif Malaysia berhubung konsep kesederhanaan diterima pakai sebagai satu resolusi di PBB.

Inisiatif Malaysia itu bertujuan memerangi penyebaran ekstremisme dan radikalisme dengan mengamalkan kesederhanaan.

“Saya juga ingin mengakui bahawa resolusi ini adalah kemuncak kerja keras yang dilakukan oleh semua kakitangan kedutaan dan juga hasil sokongan kuat yang kami terima dari tanah air,” kata Muhammad Shahrul Ikram.

Konsep kesederhanaan telah diketengah tanpa jemu dan bersungguh-sungguh oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

Resolusi itu turut mengisytiharkan 2019 sebagai Tahun Kesederhanaan Antarabangsa, yang memberikan pengaruh kepada suara kesederhanaan, menekankan kepentingan dialog, toleransi, pemahaman dan kerjasama dalam kalangan komuniti antarabangsa.

Inisiatif kesederhanaan Malaysia turut mendapat sokongan komuniti ASEAN dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

“Kesederhanaan adalah berkaitan dengan toleransi dan komunikasi antara satu sama lain. Kesederhanaan adalah penting kerana ia merupakan elemen utama sebarang bentuk pengantaraan dalam sesuatu situasi konflik.

"Melalui kesederhanaan, kita boleh bergerak ke arah penyelesaian konflik. Diplomasi Malaysia berjaya menyaksikan 2019 diisytihar sebagai tahun kesederhanaan,” kata Muhammad Shahrul Ikram sambil menambah Malaysia bakal menyerlahkan konsep itu menerusi pelbagai acara bukan hanya di New York tetapi juga di Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres telah melantik Maimunah Mohd Sharif (foto,atas) dari Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) tiga hari lepas.

Pelantikan itu susulan pemilihan beliau di Perhimpunan Agung PBB.

Maimunah, yang menggantikan Joan Clos dari Sepanyol sebagai ketua UN-Habitat, merupakan Datuk Bandar Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Malaysia akan turut mempengerusikan satu Forum PBB mengenai Hutan (UNFF) 2018 yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG) 15 serta memberi tumpuan khusus terhadap pengurusan hutan secara lestari, menghentikan dan menterbalikkan tanah serta degradasi habitat semula jadi, kejayaan memerangi penggurunan selain menghentikan kehilangan biodiversiti; semua usaha ini bertujuan memastikan manfaat ekosistem berasaskan tanah, termasuk kelestarian hidup, bakal memberi faedah kepada generasi akan datang.

Presiden Perhimpunan Agung (PGA), Miroslav Lajcák, dua hari lepas telah menyatakan bahawa pembaharuan PBB akan menjadi antara agenda utama pada 2018.

Mengulas isu itu, Muhammad Shahrul Ikram berkata Malaysia menyokong “pembaharuan umum PBB."

"Kami sedang menunggu satu laporan khas mengenai pembaharuan yang sepatutnya dikeluarkan tidak lama lagi.”

- Bernama