Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gaduh rebut parkir dengan jiran, wanita didenda RM500
Diterbitkan:  Dec 27, 2017 4:36 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Gara-gara selisih faham berhubung tempat parkir sehingga tercetusnya pergaduhan sesama jiran, seorang ibu anak dua didenda RM500 atau penjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini kerana bergaduh di tempat awam.

Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhkan hukuman itu terhadap Arni Shuana Abdullah, 41, seorang peniaga selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Arni Shuana bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa bergaduh di tempat awam yang telah mengganggu ketenteraman awam di lobi sebuah kondominium, di Puchong,, pada 8.45 malam, 28 Nov lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Sesyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai dua orang anak, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy memohon hukuman setimpal kerana punca pergaduhan hanyalah disebabkan tempat parkir kereta.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga seorang ibu tunggal berada di lobi kondominium tersebut sebelum didatangi tiga individu merupakan penduduk di situ dan seorang daripada individu berkenaan secara tiba-tiba memarahi wanita itu dan menuduhnya meletakkan kenderaan di petak pakir bukan miliknya.

Ekoran itu, berlaku pertengkaran mulut dan tertuduh mengeluarkan kata-kata kesat serta menolak dada individu berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS