Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cakap Azhar Idrus bukan fatwa
Diterbitkan:  Dec 27, 2017 9:27 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Seseorang ustaz tidak berhak mengeluarkan fatwa untuk melarang atau mengharuskan sesuatu amalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ditemui media di Kuala Lumpur hari ini Shahidan berkata sesuatu fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh mufti sesebuah negeri.

"Kita kena ingat, tiap-tiap fatwa mesti dikeluarkan oleh mufti. Kita ada mufti di setiap negeri.

"Hanya mufti yang boleh mengeluarkan fatwa sebelum disokong majlis agama Islam negeri," katanya.

Shahidan ditemui di majlis rumah terbuka Krismas di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut.

Terdahulu Shahidan ditanya mengenai pandangan dikeluarkan penceramah bebas yang popular, Azhar Idrus (gambar) mengenai hukum wanita Muslim mengambil gambar di kedai bukan Islam.

Azhar yang terkenal dengan ceramah pekat dengan pelat Terengganu dan bersahaja dalam penyampaiannya berkata langkah larangan itu perlu diambil jika seseorang wanita mempunyai pilihan.

“Kalau orang perempuan, jangan ambil gambar di kedai orang kafir selama mana ada kedai orang Islam. Jangan, tidak boleh.

“Orang lelaki tiada apa. Gambar kita ini, orang perempuan, anak dara kita, isteri kita, jangan bagi duduk pada tangan orang kafir.

“Yang lepas-lepas hendak buat macam mana. Yang akan datang jangan ambil gambar di kedai orang kafir," katanya.  

Azhar membuat kenyataan itu selepas ditanya mengenai hukum mengambil gambar. Jawaban berkenaan disiarkan portal dalam talian PAS, Harakahdaily kelmarin.

Menurut Shahidan jika seseorang ustaz mengeluarkan "fatwa" itu adalah pandangan peribadi individu terbabit.

"Hari tu pun ada (pandangan) tentang kedai dobi. Itu bukan fatwa mufti," katanya.

Tambah Shahidan lagi pandangan seseorang ustaz tidak bertaraf fatwa.

"Dia (ustaz atau penceramah) tidak berhak buat fatwa," katanya.

Lihat Komen
ADS