Seorang bekas pengarah syarikat sistem pengudaraan, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini daripada pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, pada 2009.

Hakim Samsudin Abdullah melepaskan J.Alan Rajendram, 61, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Seramai 13 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula 20 Okt 2016.

Mahkamah turut mengarahkan wang jaminan RM150,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Alan Rajendram didakwa membuat pernyataan palsu berhubung hal ehwal suatu perbadanan yang disenaraikan iaitu Linear Corporation Berhad yang terkandung di dalam pengumuman Linear Corporation Berhad bertarikh 29 Disember 2009.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square Bukit Kewangan pada 29 Dis 2009 mengikut Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

- Bernama