Polis Kampar menafikan dakwaan wujudnya kegiatan perjudian tanpa lesen secara berleluasa, khususnya di daerah itu termasuk di Gopeng dan Malim Nawar.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan judi haram dan hingga kini, tiada sebarang kegiatan tersebut dikesan di daerah tersebut.

“Kita sentiasa komited membanteras kegiatan ini dan ia adalah pendirian Ketua Polis Perak (Datuk Hasnan Hassan), yang mana kita meletakkan tiada toleransi kepada mana-mana individu atau pihak sekiranya menjalankan kegiatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas aduan seorang pemanggil dalam sebuah saluran radio swasta tempatan semalam yang menyatakan kekesalannya kerana kegiatan perjudian haram semakin berleluasa di Kampar, Gopeng dan Malim Nawar.

Ng berkata pihaknya sentiasa mengambil berat dengan sebarang aduan dan laporan mengenai kegiatan haram dan berharap orang ramai dapat mengajukannya mengikut saluran yang betul.

"Orang ramai boleh membuat panggilan atau melaporkannya ke balai polis berhampiran. Itu adalah cara yang betul," katanya.

- Bernama